
“Dia berhenti cuma dari Bersatu, dia tak berhenti dari Kabinet. Kabinet dan parti berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen BN Sempena Ulang Tahun BN Ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Justeru katanya kedudukan Zuraida dalam Jemaah Menteri perlu dibincangkan antara mereka berdua terlebih dahulu.
“Dari segi jawatan dalam Kabinet dia kena bincang dengan saya dulu,” katanya.
Ismail berkata isu kedudukan Zuraida sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi belum dibincangkan kerana Zuraida sedang bercuti.
“Dia akan jelaskan kepada saya sebelum saya buat keputusan…bila dia dah berjumpa saya kita buat keputusan,” katanya.
Zuraida minggu lalu mengumumkan menyertai parti baharu, Parti Bangsa Malaysia, yang turut disertai beberapa bekas ahli PKR yang pernah dikaitkan dengannya.
Menyusuli pengumuman itu, Bersatu mengisytiharkan keahliannya tergugur serta-merta dan menuntut jawatan Jemaah Menteri yang dipegang Zuraida diberikan kepada calon parti itu.
Ismail yang ketika itu berada di Jepun sebaliknya menegaskan Zuraida masih menterinya dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau belum membuat keputusan.