Unduk Ngadau unik, tak seperti pertandingan ratu lain, kata bekas pemenang

Unduk Ngadau unik, tak seperti pertandingan ratu lain, kata bekas pemenang

Unduk Ngadau datang daripada perkataan 'Runduk Tadau', bermaksud 'gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari'.

Unduk Ngadau 2022 Maya Hejnowska berkata, pertandingan itu sangat istimewa dan unik. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Setiap kali tibanya bulan Kaamatan pada Mei, pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau adalah antara acara paling mencuri tumpuan.

Bermula dengan pertandingan di setiap daerah bagi memilih wakil masing-masing, pertandingan Unduk Ngadau mencapai kemuncaknya hari ini, apabila seorang “sumandak” bakal dinobatkan sebagai juara, seterusnya memegang gelaran Unduk Ngadau 2022.

Mungkin ramai yang menganggap Unduk Ngadau hanyalah satu lagi pertandingan ratu setiap tahun, namun gelaran ratu itu bukanlah sesuatu yang mudah “dipegang”.

Unduk Ngadau 2021, Maya Hejnowska menyifatkan pertandingan itu sebagai acara yang penuh kerohanian dan berbeza dengan pertandingan ratu lain.

Ini kerana katanya, setiap peserta digalakkan menguasai bahasa ibunda masing-masing, selain perlu arif mengenai asal-usul mereka.

“Sebab itu saya katakan Unduk Ngadau acara kerohanian dan dari aspek itu, ia menunjukkan perbezaannya…bukan ‘Miss World’ atau ‘Miss Universe’ kerana pertandingan ini bermula dengan penuh kesyukuran.

“Dengan adanya pertandingan Unduk Ngadau, kita mempunyai tanggungjawab bagi memastikan budaya dan asal-usul kaum KDMR (Kadazandusun, Murut dan Rungus) terus hidup sehingga ke generasi seterusnya,” katanya kepada FMT.

Maya yang kini berusia 22 tahun berkata, peserta Unduk Ngadau juga perlu mendalami semangat Huminodun, iaitu gadis dalam cerita legenda atau mitos Unduk Ngadau.

Sebelum dikenali sebagai Unduk Ngadau sejak 1991, ia terlebih dahulu dikenali sebagai Ratu Kaamatan.

Unduk Ngadau datang daripada perkataan “Runduk Tadau”, yang bermaksud “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”.

“Mitos Unduk Ngadau ini berkisar tentang tuhan masyarakat Kadazandusun, Kinorohingan dan isterinya, Suminundu, yang terpaksa mengorbankan anak perempuan mereka Huminodun kerana percaya bencana alam yang melanda kampung mereka akan berakhir selepas upacara pengorbanan gadis jelita.

“Mengikut legenda, segala bahan makanan yang wujud pada ketika itu berasal daripada tubuh gadis berkenaan. Beras datangnya daripada isi gadis yang putih melepak, darahnya pula bertukar menjadi lada dan kepalanya bertukar menjadi kelapa serta jari-jemarinya bertukar menjadi halia,” katanya.

Maya berkata, cerita legenda itu terus dilestarikan bagi mengenang kembali sejarah pengorbanan Huminodun menerusi penganjuran pertandingan Unduk Ngadau di seluruh Sabah dan pusingan akhir diadakan di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun pada Pesta Kaamatan setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.