Najib bidas kritikan ‘dakwaan palsu’ mengenai ketidaksamaan pendapatan

Najib bidas kritikan ‘dakwaan palsu’ mengenai ketidaksamaan pendapatan

Bekas perdana menteri itu memetik data daripada Jabatan Perangkaan yang menunjukkan peningkatan pekali Gini semasa PH memerintah.

Najib Razak berkata, ketika beliau menjadi perdana menteri, pendapatan isi rumah B40 dan M40 mengalami pertumbuhan tahunan lebih tinggi berbanding T20.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak membidas kritikan berhubung kenyataannya bahawa ketidaksamaan pendapatan menjadi meluas bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib, yang membangkitkan isu itu semasa debat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim baru-baru ini, memetik data daripada Jabatan Perangkaan untuk menunjukkan peningkatan pekali Gini semasa PH memerintah.

“Saya tidak buat dakwaan palsu atau berita palsu,” katanya di Facebook.

Najib menjawab dakwaan bahawa beliau membuat dakwaan palsu berhubung perkara itu kerana statistik Bank Dunia hanya menyediakan data hingga 2015.

Beliau bagaimanapun berkata, Jabatan Perangkaan menyediakan data hingga 2019.

“Seperti yang anda dapat lihat, pekali Gini Malaysia mengalami penurunan paling ketara dalam sejarah semasa saya menjadi perdana menteri, jatuh daripada 44.1 kepada 39.9,” katanya.

Beliau berkata, semasa pentadbirannya, pendapatan isi rumah B40 dan M40 mengalami pertumbuhan tahunan lebih tinggi berbanding T20 berikutan dasar yang diperkenalkan pada masa itu dan pengembangan pelbagai program untuk pekerjaan dan perniagaan kecil.

Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) katanya, semakin menyumbang kepada pertumbuhan positif pendapatan isi rumah B40 dan M40 apabila individu lebih kaya berdepan peningkatan cukai lebih tinggi semakin banyak mereka berbelanja untuk barangan yang tidak dikecualikan cukai itu.

“Kesamaan pendapatan bertambah baik pada kadar terpantasnya pada masa ini dan mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada kemiskinan tegar,” katanya.

“Namun ia meningkat semula pada 2019 apabila banyak dasar ini dimansuhkan kerajaan PH.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.