
Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok) yang membentangkan usul tergempar di DUN Pulau Pinang bagi menangani kenaikan kos sara hidup berkata, moratorium itu perlu kerana negara memerlukan semua tanah pertanian yang ada untuk pengeluaran makanan dan penternakan.
“Tanah pertanian sedia ada tidak boleh ditukar untuk tujuan membina rumah atau kilang dan gudang. Kita perlu pastikan tanah subur tidak hilang dan menggunakannya untuk menghasilkan makanan,” katanya.
Lee turut menggesa Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) disegerakan bagi memastikan bekalan air berterusan untuk Koridor Ekonomi Wilayah Utara yang terletak di antara selatan Pulau Pinang dan utara Perak.
Berikutan pengumuman kerajaan Perak baru-baru ini mengenai penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah, beliau berkata, adalah penting skim air itu disegerakan bagi melindungi aktiviti pertanian dan perindustrian di kawasan itu.
SPRWTS dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai penyelesaian kepada masalah air yang dihadapi oleh negeri itu dan utara Perak. Ia adalah skim pemindahan air mentah antara negeri, sama seperti skim pemindahan air mentah Johor-Melaka dan Pahang-Selangor.
Skim itu dikatakan merupakan penyelesaian yang paling rasional dan kos efektif untuk kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Perak.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, kerajaan Perak menolak skim itu kerana kajian menunjukkan bekalan air Perak tidak mencukupi untuk kegunaan negeri itu.
Lee menyeru kerajaan persekutuan agar bertindak dan memainkan peranan sebagai orang tengah dengan memanggil kedua-dua kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan dan berunding mengenai skim air ini.
Lim Guan Eng (PH-Air Putih) pula menggesa Malaysia mencontohi Singapura dalam mempelbagaikan sumber makanan import dan berkata, Singapura mengimport makanan dari 170 negara.
Beliau berkata, menurut Bank Dunia, Malaysia mengimport makanannya dari 130 negara, terutamanya China, India, Thailand, Australia, New Zealand, Argentina, AS, Brazil dan Kesatuan Eropah.