Kes konvoi Lamborghini halang lalu lintas, pengawal peribadi didenda tampar pemandu wanita

Kes konvoi Lamborghini halang lalu lintas, pengawal peribadi didenda tampar pemandu wanita

Pemandu wanita pacuan empat roda itu turut didenda RM2,000 kerana gagal mengawal kenderaannya hingga mengakibatkan kemalangan.

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan konvoi kereta Lamborghini berhenti di tengah Lebuhraya Utara-Selatan sehingga menghalang lalu lintas Mac lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal peribadi dan pemandu wanita masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai di Johor dalam kes konvoi kereta Lamborghini berhenti di tengah Lebuhraya Utara-Selatan sehingga menghalang lalu lintas pada Mac lalu.

Menurut laporan Harian Metro, pengawal peribadi, Nor Razman Razak, 44, didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah menampar pemandu kenderaan pacuan empat roda itu. Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin turut menetapkan hukuman penjara dua bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Razman didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Lee Jia Min, 28, dengan menampar muka wanita itu di KM36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 6.10 petang 18 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lee pula didenda RM2,000 oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peniaga ayam sejuk beku itu didakwa gagal mengawal kenderaan dipandu hingga mengakibatkan kemalangan yang bertentangan Kaedah 10 LN 166/59.

Terdahulu, majistret menasihatkan Razman tidak mengambil tindakan sendiri yang mendahului undang-undang.

“Walau apa jua yang berlaku, negara ada undang-undang dan kamu sepatutnya merujuk undang-undang dengan membuat laporan polis. Jika wujud sebarang ketidakpuasan hati, bukannya kamu ambil tindakan sendiri, apatah lagi pada masa ini, banyak mata-mata memerhati dan kamera yang merakam.

“Tindakan mengikut emosi hanya merugikan masa depan kamu. Kesalahan ini akan berada dalam rekod kamu dan menjadi rujukan jika kamu mahu memohon kerja di tempat lain nanti. Sebelum bertindak, fikir dahulu, jangan ikut emosi.”

Sebelum itu, Razman kepada memaklumkan mahkamah bahawa ketika kejadian dia berada di tempat duduk penumpang hadapan dan majikannya memandu kereta mewah itu sebelum terbabit kemalangan.

“Berlaku sedikit provokasi dan ketegangan selepas kemalangan menyebabkan saya menampar pemandu kenderaan pacuan empat roda itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.