
Peguam A Surendra Ananth berkata, dalam pengurusan kes terbaharu, mahkamah tertinggi itu mengarahkan pihak terlibat untuk mengemukakan hujahan bertulis pada 18 Julai.
“Kami juga akan menulis kepada mahkamah untuk memohon supaya lebih ramai hakim, iaitu tujuh atau sembilan orang berada dalam panel untuk mendengar kes ini kerana kepentingan perlembagaannya,” katanya.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan fiat (perintah khas) kepada peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) dan speaker negeri itu, yang merupakan defendan.
Pada 12 April, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Arshad yang berkhidmat di Pulau Pinang, membenarkan permohonan rujukan oleh defendan kerana hakim mahkamah tertinggi telah membuat keputusan pada 1988 bahawa DUN kompeten untuk meluluskan undang-undang tersebut.
Azizan berkata ketika itu, hakim Mahkamah Agung, Hashim Yeop Sani membuat pemerhatian bahawa kehilangan kelayakan ahli Parlimen adalah subjek persekutuan manakala yang melibatkan ADUN adalah subjek negeri.
Hashim juga berkata, kuasa DUN untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti juga diperuntukkan di bawah Perkara 74 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Hashim membuat dapatan ini ketika menolak permohonan kebenaran oleh ADUN Sabah ketika itu, Abdul Karim Abdul Ghani, yang mencabar enakmen anti-lompat parti 1986 yang diluluskan oleh DUN ketika Parti Bersatu Sabah memerintah.
Beliau menolak permohonan kebenaran Karim untuk perkara itu dirujuk ke mahkamah tertinggi atas alasan teknikal lain.
Pada 1992, Mahkamah Agung, yang dinamakan semula sebagai Mahkamah Persekutuan dua tahun kemudian, mengisytiharkan enakmen anti-lompat parti Kelantan tidak berpelembagaan, dengan mengatakan bahawa Nordin Salleh dan Wan Mohd Najib Wan Mohamad boleh berpaling tadah kepada Umno/Barisan Nasional kerana ia adalah hak kebebasan berpersatuan mereka.
DUN Pulau Pinang dan speaker mengambil pendirian bahawa badan perundangan itu adalah kompeten untuk meluluskan enakmen anti-lompat parti yang diluluskan pada 2012.
Persoalan yang memerlukan penentuan ialah sama ada Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang terbatal kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Isu itu timbul pada 2020 selepas empat ADUN Pinang, iaitu plaintif, memfailkan tindakan untuk mencabar usul yang diperkenalkan oleh speaker dalam DUN untuk mengosongkan kerusi mereka dan mengadakan pilihan raya kecil (PRK).
ADUN terbabit ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).