Lelaki tayang pistol mainan dari kenderaan ditahan polis

Lelaki tayang pistol mainan dari kenderaan ditahan polis

Suspek berusia 28 tahun mengeluarkan tangan sambil menayangkan pistol namun perbuatan itu dirakam seorang pengguna jalan raya.

Tindakan seorang lelaki menayangkan pistol mainan dari kenderaannya dirakam pengguna jalan raya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki selepas menayang pistol mainan melalui tingkap kenderaan yang dipandunya berhampiran pusat beli-belah One Utama menghala ke tol Lebuh Raya Damansara-Puchong, semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang, suspek berusia 28 tahun bertindak mengeluarkan tangan sambil menayangkan pistol dan perbuatan itu berjaya dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan pada 7.03 malam hari sama.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya menahan seorang lelaki tempatan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, 10 malam.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku terlibat dalam insiden itu dan mendakwa pistol mainan itu milik anaknya berusia empat tahun. Suspek mendakwa ketika itu dia sedang bermain dengan anaknya,” katanya dalam kenyataan.

Fakhrudin berkata, polis merampas kereta jenis Proton Wira dan pistol mainan berwarna hitam-coklat untuk siasatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan direman dua hari bermula Isnin. Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Senjata 1960,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.