
Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan itu jelas menunjukkan mereka tidak menghormati dan sengaja mempersendakan agama Islam.
“Pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada pelaku adalah seorang yang siuman, mengalami masalah mental atau sebaliknya. Saya harap pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak selaras dengan hasil siasatan.
“Jika pelaku didapati sengaja mempersendakan agama atau ibadah, maka dia perlu diadili di Mahkamah Syariah dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sebenarnya perbuatan itu juga satu penghinaan terhadap agama dan mempersendakan Islam dan jelas berdosa besar serta boleh merosakkan akidah seseorang.
Wan Salim berkata, jika pelaku berniat mempersenda ibadat, maka dia dikira murtad dan wajib bertaubat.
“Masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan mempersendakan atau memperolok-olokkan ibadat adalah berdosa dan boleh merosakkan akidah keimanan seorang Muslim,” katanya.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dilaporkan meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.
Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan perbuatan individu berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.