
Lima daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) yang merupakan lantikan semula manakala seorang dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu bagi menggantikan seorang ahli panel bebas yang meletak jawatan pada Disember tahun lepas.
Surat cara dan pelantikan dalam badan bebas bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM itu disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini.
SPRM dalam kenyataan sempena majlis penyampaian surat cara dan pelantikan itu berkata, kesemua mereka dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas SPRM bagi tempoh dua tahun.
“Semua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.
“Tempoh pelantikan ahli PPO dan PPPR berkuat kuasa mulai 1 April 2022 hingga 31 Mac 2024,” katanya.
Ahli PPO terdiri daripada bekas timbalan ketua bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Ahmad Rosli Mohd Sham yang dilantik sebagai pengerusi.
Empat ahli PPO adalah bekas setiausaha kerajaan negeri Kelantan Mohd Faudzi Che Mamat dan bekas timbalan ketua pegawai eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri Abdul Manap Dim
Turut dilantik sebagai ahli PPO adalah bekas timbalan ketua pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Azimah Abd Hamid dan bekas timbalan pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia Dr Mazlan Ahmad.
Ahli PPPR yang baharu adalah Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Mohamad Salim Fateh Din, menurut SPRM.