
Berdasarkan keputusan semasa, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, tewas di sebahagian besar bahagian di negeri itu dengan memperoleh 22,101 undi, menurut laporan Berita Harian.
Rafizi berjaya meraih 25,449 undi selepas menguasai 13 dari 22 bahagian PKR di Selangor.
Selangor merupakan negeri terpenting susulan mempunyai ahli PKR tertinggi dan penting dalam perebutan saingan orang nombor dua parti.
Selain Selangor, Rafizi yang juga naib presiden dilaporkan menguasai tiga negeri lagi membabitkan Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.
Rafizi juga turut menang bagi saingan merebut jawatan ketua bahagian PKR Pandan.
Di Melaka, Rafizi menang selepas memperoleh 2,427 undi dan mengatasi Saifuddin, yang memperoleh hanya 1,464 undi, sementara di Negeri Sembilan, Rafizi juga menguasai jumlah undian diperoleh di semua lapan bahagian PKR di negeri itu.
Sementara di Kelantan, Rafizi memperoleh 3,222 undi selepas menguasai 11 daripada 15 cabang di negeri itu, sementara 2,132 undi pula diperoleh Saifuddin.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sebelum ini, berkata seramai 147,334 ahli PKR mengundi dalam pemilihan kali ini atau sekitar 13.17% daripada 1,118,423 ahli yang layak mengundi kali ini.
Ini bermakna, mana-mana calon yang melepasi jumlah 73,667 undi atau 50% khususnya bagi perebutan jawatan timbalan presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan perebutan jawatan itu.