
Ketua Polis Taiping, Osman Mamat, berkata mangsa bekerja sebagai penjaga stor sebuah kilang menjalinkan hubungan cinta secara dalam talian dengan doktor itu, dikenali sebagai “Ding Nai Wei”.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu lelaki berkenaan dan membuat laporan polis semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki itu melalui Facebook pada 16 Sept tahun lalu.
“Sepanjang tempoh perkenalan, mangsa memasukkan jumlah wang berkenaan melalui 69 transaksi ke 13 akaun bank berbeza. Semua transaksi dilakukan melalui mesin ATM Maybank cawangan Taiping, bermula 4 Okt tahun lalu hingga 21 Mei.
“Modus operandi lelaki itu adalah meminta mangsa memasukkan jumlah wang yang diperlukan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membantunya keluar dari Iraq dan ingin pulang ke Miami,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Osman berkata, suspek turut berjanji memberikan RM5 juta kepada mangsa sekiranya dia tiba di Malaysia.
Katanya, siasatan turut mendapati mangsa hanya berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan kedua-dua mereka tidak pernah bertemu.
“Suspek meminta bantuan daripada pengadu untuk memasukkan wang kepada pihak PBB bagi menamatkan kontraknya sebagai doktor di sana. Mangsa yang terpengaruh akhirnya kerugian RM565,700,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.