Pemilihan PKR: Farhash pertikai percanggahan keputusan bahagian Gombak

Pemilihan PKR: Farhash pertikai percanggahan keputusan bahagian Gombak

Bekas pembantu Anwar Ibrahim itu menuntut audit forensik dijalankan ke atas keputusan undian bahagian Gombak.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pasukannya mempunyai bukti kukuh untuk menyokong dakwaan percanggahan itu.
PETALING JAYA:
Bekas pembantu Presiden PKR, Anwar Ibrahim menuntut audit forensik dijalankan ke atas keputusan pemilihan parti kerana mendakwa wujud percanggahan antara jumlah undi dikira dan pengundi.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, beliau akan membantah keputusan “tidak munasabah” undian secara fizikal dan dalam talian di bahagian Gombak.

“Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa berdasarkan keputusan yang disiarkan di laman sesawang PKR hari ini, jumlah undian dikira tidak sama dengan jumlah pengundi.

Farhash mencabar Ketua PKR Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari untuk jawatan ketua bahagian Gombak.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi di laman sesawang PKR, Amirudin menundukkan Farhash dengan 1,858 undi berbanding 1,215 undi.

Farhash berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan pimpinan parti akan mengambil tindakan sewajarnya serta membetulkan keadaan sekiranya terbukti pemilihan dan keputusan dikompromi.

Kebimbangan dibangkitkan bekas ketua PKR Perak itu berhubung pemilihan parti adalah yang terbaru dalam beberapa siri rungutan dilaporkan calon dan ahli.

Selain dakwaan pengundi hantu dan ahli “meragukan” yang layak mengundi, pemilihan PKR kali ini turut dicemari masalah teknikal yang mengganggu pengundian di lapan bahagian pada hujung minggu lalu.

Pemilihan PKR kali ini juga dipecayai menyaksikan peratusan mengundi yang rendah, dengan kurang 13% daripada 1.1 juta ahlinya mengundi secara fizikal atau dalam talian.

Terdahulu, JPP dilaporkan berkata, pemilihan parti sudah berakhir dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres PKR pada 25 serta 26 Jun ini, manakala keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman sesawang parti mulai hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.