Mayat ketiga remaja Thailand lemas mandi sungai ditemui

Mayat ketiga remaja Thailand lemas mandi sungai ditemui

Polis berkata, mayat ketiga itu ditemui sejauh 1km dari lokasi tiga remaja itu lemas semasa mereka mandi selepas memancing.

Mayat Ku Nabila Ku Zaid dijumpai pasukan penyelamat yang menjalankan operasi SAR dengan dibantu penduduk kampung pada 6.15 petang semalam. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga sepupu warga Thailand yang lemas di Sungai Kelantan, dekat pangkalan feri di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai kelmarin dihentikan susulan penemuan mayat ketiga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohammad berkata, mayat Ku Nabila Ku Zaid, 15, dijumpai pada 6.15 petang semalam oleh pasukan penyelamat yang menjalankan operasi SAR dengan dibantu penduduk kampung.

“Pasukan SAR menjumpai mangsa yang terapung dalam jarak 1km dari tempat kejadian.

“Lokasi mayat ditemui itu adalah di Sungai Kelantan berhampiran kawasan Kampung Pasir Era di daerah Kuala Krai,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Susulan itu, operasi SAR ditamatkan 7 malam Sabtu.

Suzaimi dalam kenyataan yang dipetik Kosmo berkata, hasil siasatan mendapati tiga remaja itu mandi di sungai yang terletak di belakang rumah mereka, iaitu 500 meter dari pangkalan feri Kelang Lama.

Jumaat lalu, mayat dua beradik, Nik Alia Tuan Tengah, 15, dan Nik Adib Tuan Tengah, 13, masing-masing ditemui pada 6.30 petang dan 9 malam kelmarin.

Tiga remaja bersaudara itu dihanyutkan arus deras dan lemas ketika mandi selepas memancing di sungai berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.