
Jurucakap UNHCR memberitahu FMT, kad-kad tersebut dikeluarkan kepada individu yang memenuhi definisi antarabangsa yang diterima, iaitu memerlukan perlindungan pelarian, tanpa diskriminasi kaum, agama atau kewarganegaraan.
Jurucakap itu berkata, UNHCR menjalankan proses menentukan status pelarian di Malaysia kerana negara ini tidak mempunyai rangka kerja kebangsaan mengenai suaka.
UNHCR membuat kenyataan itu selepas menteri dalam negeri mempersoalkan tindakannya memberi kad pelarian kepada beberapa warga Indonesia.
Hamzah Zainudin menuduh UNHCR mengeluarkan kad pelarian sewenang-wenangnya dan menuntut penjelasan, memandangkan mereka yang memiliki kad itu boleh tinggal di negara ini secara sah.
Jurucakap agensi itu berkata, sesiapa sahaja yang memenuhi kriteria yang diterima di peringkat antarabangsa boleh disahkan sebagai pelarian yang memerlukan perlindungan antarabangsa, tanpa mengira negara asal mereka.
Katanya, pelarian ditakrifkan sebagai seseorang yang meninggalkan negara asal disebabkan peperangan dan konflik, atau melarikan diri daripada penganiayaan di negara asal atas alasan bangsa, agama, kewarganegaraan, keahlian kumpulan sosial tertentu atau pendapat politik.
Mereka ini pasti telah kehilangan perlindungan negara sendiri dan tidak dapat pulang dengan selamat.
Di seluruh dunia, terdapat kira-kira 25 juta pelarian dan pencari suaka dari pelbagai negara, yang dianggap memerlukan perlindungan antarabangsa.