Jawatankuasa kawal salah guna ketum, hemp diwujudkan

Jawatankuasa kawal salah guna ketum, hemp diwujudkan

Cadangan oleh jawatankuasa ini akan dikemukakan kepada kerajaan agar akta mengenai dua tumbuhan itu dapat diubah, kata Zahidi Zainul Abidin.

Penggunaan ketum dan hemp memerlukan kawal selia kerana seperti unsur-unsur lain, sebarang penggunaan yang salah dan berlebihan akan membawa mudarat, kata Zahidi Zainul Abidin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah jawatankuasa bagi memberi cadangan mengawal penyalahgunaan ketum dan hemp diwujudkan dalam usaha mendapatkan kelulusan daripada Jemaah Menteri agar kedua tumbuhan itu dapat ditanam bagi tujuan perubatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata, jawatankuasa yang diwujudkan pihaknya itu dipengerusikan bekas pegawai tertinggi polis dan dianggotai bekas pegawai lain yang antaranya daripada bahagian narkotik dan maksiat.

“Apabila kerajaan sudah beri ‘lampu hijau’ untuk bincang perkara ini, saya perlu bincang pula dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dari segi pengawalan,” katanya.

“Kita sudah lantik bekas pegawai tertinggi polis untuk jadi pengerusi jawatankuasa ini. (Anggotanya) terdiri daripada bekas pegawai narkotik dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan lain-lain bahagian.

“Mereka akan beri cadangan kepada kita dan kita akan kemukakan kepada kerajaan supaya ketum dan hemp ini tidak disalah guna,” katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Sungai Petani semalam, lapor Berita Harian.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, mereka sudah sampai ke peringkat perbincangan dengan kerajaan dan matlamat akhirnya adalah untuk membawa perkara ini ke Parlimen agar akta mengenai dua tumbuhan itu dapat diubah.

Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai bekas polis dan tentera membabitkan diri dalam jawatankuasa tersebut.

Zahidi berkata, penggunaan ketum dan hemp memerlukan kawal selia kerana seperti unsur-unsur lain, sebarang penggunaan yang salah dan berlebihan akan membawa mudarat.

“Kita kena faham, morfin pun jika disalah guna akan beri mudarat. sebab itu kerajaan hanya benarkan penggunaan oleh pihak hospital sahaja.

“Begitu juga dengan teh tarik dan ubat tidur; jika berlebihan ia akan membahayakan kesihatan, sebab itu perlu kawal,” katanya.

Sementara itu, Zahidi berkata, penanaman ketum dan hemp akan membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan untuk menaik taraf hidup mereka.

“Selama ini penduduk luar bandar yang tidak pergi sekolah, yang tidak ada duit hendak beli susu anak siapa yang tolong, kerajaan yang tolong, tak ramai individu yang sanggup tolong mereka.

“Hari ini, mereka yang salah guna ketum saya difahamkan 3,000 orang, tetapi jika kerajaan lulus tanaman ketum dan hemp, seramai dua juta orang akan dapat pendapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.