
Seorang pemilik restoran berusia dalam lingkungan 50an yang hanya ingin dikenali sebagai Yu, berkata peningkatan kos ayam, daging babi dan minyak menjejaskan keuntungannya.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak menaikkan harga dan akan “bertahan dan tunggu sahaja” kerana percaya akan mendapat reaksi buruk daripada pelanggan.
“Kami kebanyakannya menjual kepada pekerja pejabat di sini, jadi jika harga naik, mereka tidak akan menerimanya dengan baik – mereka lebih sensitif terhadap harga,” katanya.
Beliau berkata, pekerja pejabat akan berasa terbeban dengan kenaikan harga itu kerana gaji mereka bukanlah lumayan.
Fong Sun Fatt, 55, berkata beliau masih belum menaikkan harga jualannya walaupun harga daging babi meningkat enam kali ganda sejak awal tahun ini.

Walaupun masih boleh mengatasinya kerana mempunyai pelanggan tetap, beliau mengakui rasa keberatan untuk menaikkan harga kerana besar kemungkinan pelanggan akan berhenti datang.
“Kami hanya perlu terima kekurangan pendapatan dan cuba menjual lebih banyak buat masa ini, apa lagi yang boleh kami lakukan? Semasa Covid-19, ia lebih teruk kerana kami tidak dapat menjual.
“Memandangkan kami dapat menjual semula, kami hanya dapat berpuas hati dan buat sekadar mampu pada masa ini,” kata Fong.
Pengusaha kedai makan, Sean, 55, berkata bahawa ia adalah “masalah kolektif” yang dihadapi di seluruh dunia, tetapi beliau berharap kerajaan akan membantu mengawal pasaran bagi mengelak harga meningkat di luar kawalan.
“Jika tidak, kita rakyat yang akan menderita. Keuntungan dan gaji kami tidak naik tetapi kos semua benda semakin meningkat,” katanya.
Walaupun beliau menaikkan sedikit harga jualannya, beliau teragak-agak untuk menaikkannya terlalu banyak kerana khuatir perniagaannya akan terjejas.
Dua penjaja yang sudah lama berniaga di pusat bandar memberitahu FMT, pelanggan tidak terkejut dengan kenaikan harga memandangkan ini berlaku di tempat lain juga.

Kok Lai Har, 56, berkata, beliau selalunya akan cuba menanggung tekanan harga sehingga tahap tertentu.
“Jika kami tidak mampu, pelanggan akan merungut mengatakan gaji mereka masih sama, walaupun mereka faham kami perlu naikkan harga,” katanya.
Jia Hui, 18, yang meneruskan perniagaan nasi ayam periuk tanah milik bapanya, berkata mereka mengalami kesukaran mendapatkan ayam dalam jumlah yang banyak. Ada kalanya, bekalan tidak mencukupi dan mereka terpaksa mengurangkan bahagian ayam dalam hidangan.