
Katanya, isu itu memerlukan usaha menyeluruh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta banyak lagi.
“Isu ini tentunya tidak dapat diselesaikan oleh sebuah agensi sahaja. Ia perlu melalui kerjasama dan penyelarasan antara pelbagai kementerian serta agensi,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
“Kebimbangan utama saya ialah kementerian itu bekerja secara senyap, tanpa penyelarasan antara kementerian.”
Loke turut meminta Prasarana Malaysia Bhd mendedahkan sama ada jumlah penumpang kereta api harian sama seperti sebelum pandemik kerana data itu boleh diperolehi kerajaan.
“Saya pernah menerima laporan demikian dahulu. Malah data mengenai jumlah penumpang bagi setiap perjalanan dan maklumat sedemikian dilaporkan kepada saya setiap minggu selepas mesyuarat Kabinet,” kata bekas menteri pengangkutan itu.
“Kementerian Pengangkutan pasti mempunyai data. Kenapa tidak telus dengan orang ramai, jika jumlah penumpang telah berubah?”
Beliau percaya kemungkinan besar ramai penumpang memilih untuk menukar mod pengangkutan mereka daripada sistem rel kepada kenderaan persendirian memandangkan sistem pengangkutan awam tidak boleh dipercayai kerana kerosakan kerap berlaku.
Loke juga mencadangkan mobilisasi berskala besar dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengerahkan warden trafik melencongkan lalu lintas di persimpangan jalan yang sesak.
Katanya, langkah kerajaan tidak menggalakkan penggunaan kenderaan mikromobiliti hanya memburukkan lagi isu ketersambungan antara destinasi pertama dan terakhir.
Beliau mendapati gerabak kereta api ternyata sesak dan mempersoalkan sama ada ia disebabkan pengurangan kekerapan perjalanan yang menyebabkan penumpang terpaksa berhimpit dalam gerabak.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong yang berkata, kerajaan pasti mengalami masalah fiskal berterusan setiap kali harga bahan api meningkat kerana pengangkutan awam kurang digunakan.
Beliau memetik kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang menganggarkan subsidi bahan api akan menelan belanja RM30 bilion menjelang akhir tahun ini.