
Tiga pramugara yang diberhentikan pada Jun 2020 berkata, syarikat penerbangan yang menyaksikan lonjakan permintaan selepas sekatan perjalanan antarabangsa dibatalkan 1 April lalu boleh menjimatkan masa dan wang dengan mengambil semula bekas kakitangan mereka kerana kumpulan itu hanya memerlukan sedikit latihan.
“Rekrut baharu perlu menjalani kursus latihan asas selama 90 hari berbanding bekas kakitangan yang hanya perlu menjalani latihan selama dua minggu,” kata Rafiq Sabarbacha kepada FMT.
“Tiada keperluan untuk membiasakan diri dalam kabin atau latihan cara melayan pelanggan.”
Katanya, beliau “bersetuju sepenuhnya” dengan gesaan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) baru-baru ini supaya syarikat penerbangan mempercepatkan proses pengambilan pekerja dan mengambil semula kakitangan yang diberhentikan semasa pandemik.
Nufam berkata, ia menerima aduan daripada kakitangan syarikat penerbangan bahawa mereka dipanggil bekerja ketika bercuti kerana kekurangan tenaga kerja, yang menurutnya adalah satu daripada sebab di sebalik kes penjadualan semula penerbangan baru-baru ini.
Rafiq berkata, beliau mahu melihat Tony Fernandes daripada Capital A mengotakan janjinya untuk mengambil semula kakitangan yang terpaksa diberhentikannya ketika krisis Covid-19 yang dilaporkan dibuat oleh ketua pegawai eksekutif kumpulan itu pada Jun 2021.

Seorang lagi bekas kru kabin, Nik Zulhusni Nik Sin berkata, syarikat penerbangan memerlukan kakitangan berpengalaman jika ia mahu mengekalkan kualiti perkhidmatannya.
“Kru kabin bukan hanya menghidangkan teh dan kopi, ia adalah mengenai perkhidmatan keseluruhan kepada pelanggan yang boleh diberikan oleh kakitangan berpengalaman,” kata Nik Zulhusni, pramugara yang berpengalaman hampir 25 tahun sebelum diberhentikan pada Jun 2020.
Lelaki berusia 50 tahun itu berkata, rekrut lebih muda memerlukan lebih banyak masa untuk mengasah kemahiran menyelesaikan masalah apabila berdepan pelanggan.
“Mereka biasanya kurang pengalaman menyelesaikan masalah. ontohnya apabila terdapat masalah pesanan makanan dalam pesawat, kru kabin muda biasanya merujuk kru senior untuk mendapatkan bantuan,” kata Nik Zulhusni, yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Sejak diberhentikan katanya, beliau sukar mencari pekerjaan dalam industri lain kerana gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan pengalaman kerjanya.

Adzrie Zulkifli, yang merupakan kru kabin senior berkata, faktor usia turut menyumbang kepada kesukaran bekas kru kabin mencari pekerjaan dalam bidang lain.
Katanya, pengambilan rekrut baharu tidak semestinya menjimatkan kos syarikat penerbangan kerana ia perlu mengeluarkan wang untuk memberi latihan.
Beliau berkata, pengambilan semula bekas kakitangan akan menjadi tanda terima kasih yang baik kepada mereka yang telah membantu syarikat penerbangan membina reputasi selama ini.
“Adakah syarikat akan memenangi begitu banyak anugerah, jika ia tidak mengambil kami bekerja dahulu?” soalnya yang kini berusia 31 tahun.