
Setiausaha Umno negeri, Mustafa Salim berkata, selaras dengan keputusan kepimpinan tertinggi parti, Umno Negeri Sembilan akan meletakkan calon di semua lapan kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN.
“Ini sudah diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini selain menerusi kenyataan presiden dan timbalan presiden. Berdasarkan itu, Umno akan bertanding sendirian termasuk di Negeri Sembilan, kita tiada kerjasama dengan mana-mana parti atau pakatan lain dalam menghadapi PRU akan datang.
“Oleh itu kita akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN di Negeri Sembilan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ketika ini, Umno menyandang tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, iaitu Rembau, Jelebu dan Jempol, selain 16 kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menguasai 20 kerusi.
Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, parti berkenaan ingin mengekalkan hubungan baik dengan Umno di semua negeri.
Katanya, ia bagi mengelak pertembungan pada PRU15 walaupun ketika ini hanya Selangor yang menunjukkan “kemesraan” dengan parti itu.