
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, gambar dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki berusia tiga tahun dan seorang perempuan lima tahun dimuat naik dalam Facebook.
Katanya, susulan gambar disiarkan itu, orang awam membuat laporan polis.
Beliau berkata, kanak-kanak itu ditemukan dengan luka dan bengkak di muka serta badan dan kedua-dua kanak-kanak malang itu segera dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
“Polis menahan dua wanita tempatan, termasuk seorang daripadanya berusia 28 tahun yang juga ibu kepada kanak-kanak itu serta nenek saudara mereka yang berusia 52 tahun,” katanya ketika dihubungi.
Soffian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.
“Polis meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat berhubung perkara itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822,” katanya.