
Penganalisis politik, Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, peratusan yang terlalu rendah itu juga menimbulkan persoalan terhadap jumlah sebenar keahlian PKR.
“Kalau dalam demokrasi, orang tak keluar mengundi tu tak semestinya mereka tolak parti, mereka mungkin terima parti dan terima siapa sahaja jadi calon kerana tak nampak mana-mana calon yang naik boleh menjejaskan mereka.
“Tapi jumlah keluar mengundi 12% itu terlalu rendah untuk memberi keabsahan kepada pemegang jawatan kerana ia terlalu kecil. Namun tak ada undang-undang kata tak boleh diterima.
“Kepimpinan yang ada kena ambil jalan terbaik selesaikan, kalau tak, orang lihat PKR sebagai parti yang tidak relevan dan akan melemahkan PKR,” katanya kepada FMT.
Menurut dokumen kiraan akhir yang dilihat FMT, hanya 137,803 daripada 1,118,423 ahli yang layak keluar mengundi secara fizikal atau dalam talian. Ini bagaimanapun tidak termasuk lapan bahagian yang perlu melalui pemilihan semula susulan gangguan dalam pemilihan hujung minggu lalu.
Jumlah itu menunjukkan undian dalam talian disambut baik dengan 70,200 daripada 76,932 yang mendaftar mengundi, namun peratusan keluar mengundi secara fizikal hanya 59,483 daripada 1.1 juta pengundi yang layak.
Jawatankuasa Pemilihan Parti menetapkan proses pengundian semula melibatkan 13 bahagian di lima negeri akan dilaksanakan hari ini dan esok melibatkan lapan cabang yang mengalami masalah teknikal dan lima cabang melalui proses bantahan.
Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, peratusan mengundi yang rendah itu menunjukkan calon bertanding gagal menarik penyokong keluar mengundi bagi memastikan kemenangan mereka.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia adalah amaran “supaya PKR bangkit semula” setelah melalui beberapa siri kekalahan dalam pilihan raya negeri.
“PKR juga perlu menzahirkan persefahaman dalam parti, merapatkan barisan, tak menunjukkan ketidaktentuan dalam politik dan memastikan yang kalah masih berada dalam parti dan berjuang atas nama parti, bukannya individu.
“Barangkali ia sebagai ‘wake up call’ kepada PKR yang banyak perjuangkan soal kebebasan, demokrasi untuk meneliti semula perancangan dan perencanaan rapi bergerak ke masa depan,” katanya.