
Ketua Bomba Sibu Sentral Suna Kahar, berkata mangsa, Andy Ting King Dieng, 43, ditemukan kira-kira 2.55 petang tadi dan pengecaman dilakukan ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, operasi selaman melibatkan lapan anggota bomba dan penyelamat bermula 8.57 pagi dengan kedalaman antara tiga hingga 11m, sebelum lokasi kereta itu tenggelam berjaya dikesan.
“Kereta tersebut berjaya dinaikkan menggunakan kren pada 3.49 petang dan didapati mangsa masih berada di dalam kenderaan. Pada 4.04 petang, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Michael Tiang, turut bergegas ke tempat kejadian dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, mangsa adalah rakan seperjuangannya semasa bertugas sebagai ahli Majlis Perbandaran Sibu dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan tersebut.