Majlis Peguam buat protes susulan dakwaan ‘ugutan badan kehakiman’

Majlis Peguam buat protes susulan dakwaan ‘ugutan badan kehakiman’

Majlis Peguam juga mengutuk tindakan SPRM menyiasat Hakim Mahkamah Persekutuan Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank.

Para peguam mengambil bahagian dalam protes, pada 2007, menggesa siasatan dilakukan terhadap skandal pelantikan hakim, (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Satu “protes aman” akan diadakan bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung ugutan terhadap badan kehakiman, kata Majlis Peguam.

Presidennya, Karen Cheah, berkata ahli mereka mengundi menyokong usul pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), hari ini, bagi mengutuk siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Persekutuan Nazlan Mohd Ghazali.

Siasatan terbabit susulan laporan berhubung wang tidak dapat dijelaskan berjumlah lebih RM1 juta dalam akaun bank Nazlan. SPRM berkata, kertas siasatan sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, untuk menunggu nasihat dan arahan selanjutnya.

Majlis Peguam berkata, prosedur secara berperlembagaan perlu diikuti dalam menjalankan siasatan atas alasan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan aduan berhubung dakwaan salah laku kehakiman dikendalikan dengan cara demi memastikan keyakinan berterusan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Awal bulan ini, enam bekas presiden Majlis Peguam (Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee dan Steven Thiru) menggesa penyandang jawatan presiden mengadakan program “walk for justice” bertujuan menyatakan protes susulan dakwaan “ugutan” terhadap badan kehakiman.

Ketika penggal Ambiga memegang jawatan itu, beliau mengetuai 2,000 ahlinya berjalan bermula Istana Keadilan ke Pejabat Perdana Menteri, bagi mendesak kerajaan diterajui perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung skandal pelantikan hakim.

Cheah berkata, mesyuarat akan diadakan, esok, untuk membincangkan tentang protes berkenaan.

Katanya, wakil dari Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah, hadir pada EGM Majlis Peguam, hari ini, sebagai pemerhati dan akan dikeluarkan jemputan untuk mereka turut mengambil bahagian dalam protes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.