Kerajaan digesa seragamkan tambang e-panggilan, teksi

Kerajaan digesa seragamkan tambang e-panggilan, teksi

Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail berkata kenyataan bahawa kerajaan tidak mengawal tambang asas yang dikenakan oleh syarikat e-panggilan adalah salah.

Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail berkata, kerajaan perlu sama ratakan tambang dan kelas tambang e-panggilan dan teksi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kemelut jurang tambang antara teksi dan e-panggilan akan dapat diatasi jika kerajaan menyeragamkan harga tambang perkhidmatan terbabit.

Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail berkata, kenyataan bahawa kerajaan tidak mengawal tambang asas yang dikenakan oleh syarikat e-panggilan adalah salah.

“Itu kesalahan kerajaan. Jadi bila harga itu naik jangan bising.

“Saya nak kerajaan sama ratakan tambang dan kelas-kelas tambang sama dengan teksi. Tak payah cerita panjang-panjang. Kerajaan kena kawal itu sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, kerajaan tidak mengawal tambang asas yang dikenakan oleh syarikat e-panggilan susulan laporan berkenaan peningkatan tambang perkhidmatan itu baru-baru ini.

Wee berkata, syarikat pengendali e-panggilan dibenarkan mengenakan caj, iaitu tambang asas dan surcaj.

Katanya, selepas perbincangan dengan pihak syarikat, didapati ada dua punca utama kenaikan tambang, iaitu penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama.

Ia termasuk permintaan mendadak sejak bermulanya fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu serta penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding sebelum wabak Covid-19 melanda.

Dalam pada itu, Shamsubahrin meminta kerajaan merombak Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (Apad) yang didakwanya tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, Apad boleh berfungsi lebih baik jika penstrukturan semula agensi itu dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.