
Menurut laporan Harian Metro, pelajar Tingkatan Dua itu dikatakan mengalami halusinasi dan demam, dua hari sebelum kejadian selepas mengikuti aktiviti merentas desa anjuran sekolahnya.
Ketua Polis Pasir Puteh Zaizul Rizal Zakaria, berkata pelajar itu sudah dibawa pulang ahli keluarganya.
“Kita hanya tahan reman pelajar itu sehari pada petang Rabu hingga petang semalam.
“Ketika dibenarkan pulang, pelajar itu masih kelihatan dalam keadaan trauma,” katanya menurut laporan akhbar itu.
Bagaimanapun, Zaizul berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan menunggu untuk mendapatkan laporan kejadian daripada mangsa, iaitu ibu pelajar terbabit.
“Mangsa kini stabil namun kita bagi ruang dahulu untuk mangsa pulih sebelum menyambung siasatan,” katanya.
Selasa lalu, pelajar lelaki berusia 14 tahun bertindak menikam ibunya di dada kiri pada 11.45 malam.
Ibu mangsa yang berusia 41 tahun kini mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia.