
“Bawah Seksyen 114B Akta Keterangan India, mahkamah boleh menganggap, berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan, bahawa kematian seorang tahanan adalah disebabkan kecuaian atau tindakan pegawai polis yang bertugas.
“Jadi pegawai polis yang dituduh membunuh perlu membuktikan dia tidak bersalah,” kata Royston Tan kepada FMT.
Seksyen 114B adalah pindaan kepada Akta Keterangan India 1872 yang diperkenalkan pada 2016. Untuk dipercayai tidak bersalah bawah Akta tersebut, pegawai polis mesti memberikan penjelasan yang jelas dan disokong dengan bukti.
Tan berkata demikian susulan kejadian pada 13 April membabitkan seorang tahanan lelaki berusia 45 tahun yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital setelah “dilihat terkena sawan” oleh pegawai bertugas.
Kes itu adalah kematian tahanan ke-16 tahun ini.
Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan badan bebas untuk menyiasat kematian dalam tahanan.
“Kita harus menggunakan pendekatan seperti di England, yang mempunyai Jabatan Koroner untuk menguruskan hal-hal berkaitan siasatan kematian.
“Bidang kuasa koroner termasuk siasatan kematian yang bersifat luar biasa dan (juga) menimbulkan keraguan,” katanya.
Pihak berkuasa abai Seksyen 28 CPC
Peguam Rafique Rashid Ali berkata, kadar kematian dalam tahanan yang membimbangkan menunjukkan kegagalan umum pihak berkuasa untuk mematuhi Seksyen 28 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Seksyen 28 CPC menyatakan bahawa pegawai polis hendaklah secepat mungkin membenarkan individu yang ditangkap berkomunikasi dengan saudara (atau rakan) untuk memaklumkan keberadaan mereka atau berkomunikasi (dan berunding) dengan pengamal undang-undang pilihan mereka, jika mereka mahu.
“Ini terutamanya menjadi isu apabila ahli keluarga cuba menghubungi saudara yang berada dalam tahanan. Mereka nampaknya tidak mendapat maklumat yang tepat, polis tidak menyediakannya,” katanya.
Rafique berkata, pematuhan Seksyen 28 akan meningkatkan ketepatan masa bantuan yang diberikan kepada individu ditangkap.
“Apabila ahli keluarga atau peguam mengetahui tentang penahanan seseorang, tindakan segera boleh diambil untuk mencari di mana individu itu ditahan dan memastikan status keadaan mereka,” katanya.