Bekas menteri Sabah Peter Anthony didapati bersalah palsukan dokumen UMS

Bekas menteri Sabah Peter Anthony didapati bersalah palsukan dokumen UMS

Mahkamah Sesyen Azura Alwi berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Peter Anthony didakwa atas pertuduhan memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony didapati bersalah atas pertuduhan memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pihak pendakwaan kini akan meneruskan hujah untuk hukuman sebelum Azura memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap Peter, 51.

Sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati, Peter didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

ADUN Melalap itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dalam penghakiman lisannya, Azura berkata pembelaan Peter adalah tidak konsisten, penafian kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Beliau berkata keterangan mengikut keadaan dan keterangan saksi pendakwaan mendedahkan bahawa hanya Peter yang mempunyai peluang untuk melakukan kesalahan itu.

“Mahkamah ini mendapati biarpun walaupun tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa anda (Peter) telah memalsukan (dokumen) dengan (menulis) tajuk, terdapat keterangan mengikut keadaan dan keterangan (untuk menunjukkan bahawa) hanya anda yang berpeluang untuk memalsukannya.

“Keterangan ini mencukupi (untuk menunjukkan) bahawa anda adalah orang yang memalsukan dokumen,” katanya.

Beliau berkata, Peter yang juga bekas naib presiden Warisan melakukan kesalahan itu dengan niat tidak jujur untuk menipu.

“Asas juga tidak ada untuk meragui kredibiliti saksi pendakwaan walaupun dua orang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak universiti,” katanya.

Azura juga berkata, tiada asas dalam pembelaan Peter yang mana dia menyatakan bahawa dia telah didakwa kerana kecenderungan politik.

Katanya, Peter yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), juga menyatakan dalam pembelaannya bahawa “tiada keuntungan yang salah baginya dan kerugian yang salah kepada pihak berkuasa”.

“Mahkamah ini bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa mereka tidak perlu membuktikan unsur-unsur penipuan telah berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.