Bekalan dijangka stabil, namun kos barang mungkin meningkat, kata Fomca

Bekalan dijangka stabil, namun kos barang mungkin meningkat, kata Fomca

Menurut Fomca, pemansuhan AP sedikit sebanyak dapat menangani isu bekalan makanan, tetapi kadar tukaran mata wang antara penentu harga barangan.

Pengguna dinasihatkan supaya bersedia menghadapi peningkatan harga barang dengan banyak isi rumah B40 dan M40 ketika ini terkesan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Fomca Saravanan Thambirajah.
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan harga barang makanan akan meningkat walaupun kerajaan dapat menstabilkan bekalan, susulan beberapa unsur luar kawalan.

Meskipun isu bekalan makanan sedikit sebanyak dapat ditangani dengan pemansuhan permit import (AP), namun kadar tukaran mata wang adalah antara penentu harga barang kerana kebanyakannya diimport, kata ketua pegawai eksekutifnya Saravanan Thambirajah.

“Apabila kerajaan ‘membuka’ AP ini, ia akan dapat meningkatkan bekalan makanan dalam jangka pendek. Namun ini tidak memberi kesan kepada harga barangan kerana ia bergantung kepada kadar tukaran,” katanya kepada FMT.

“Apabila kadar tukaran tinggi, kos barangan meningkat dan harga barangan tidak akan berkurang. Mungkin meningkat sikit.”

Saravanan menyenaraikan beberapa lagi unsur yang mendorong kenaikan harga barang seperti susut nilai ringgit, bekalan rendah ketika permintaan tinggi apabila sektor ekonomi dibuka selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua tahun berakhir dan peningkatan kos operasi perniagaan.

“Apabila peniaga menghadapi peningkatan kos, mereka akan cuba menaikkan harga barangan bagi menampung kos tersebut,” katanya.

Berdasarkan jangkaan itu, Saravanan menasihati pengguna agar “bersedia” menghadapi peningkatan harga barang dalam keadaan banyak isi rumah B40 dan M40 ketika ini terkesan dengan kenaikan harga barang dan kuasa membeli yang berkurangan.

“Keadaan sebegini mula berlaku pada awal tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan khuatir terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi pengguna selepas kadar baharu gaji minimum sebanyak RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei bagi mengaut keuntungan sungguhpun kos barangan berkenaan mungkin tidak naik.

Kerajaan pada 18 Mei mengumumkan pemansuhan serta-merta AP untuk mengimport bahan makanan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi ketika harga barangan keperluan dijangka meningkat sehingga 60% pada Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.