7 projek ‘gajah putih’ M-WEZ membazir, kata DAP Melaka

7 projek ‘gajah putih’ M-WEZ membazir, kata DAP Melaka

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mempersoalkan manfaat tujuh projek itu yang didakwa merugikan.

Pembangunan projek di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) hanyalah satu bentuk pembaziran, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong. (Gambar Linggi.com.my)
PETALING JAYA:
Kerajaan Melaka digesa mempertimbangkan pembatalan tujuh projek “gajah putih” yang dirancang di bawah Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, pembangunan semua projek itu hanyalah satu bentuk pembaziran dengan kerajaan sebenarnya boleh memanfaatkan keunikan semula jadi yang sedia ada di negeri itu.

“Negeri Melaka mempunyai pesisir pantai yang amat indah termasuklah warisan sejarah dan kebudayaan yang unik. Kerajaan seharusnya menggunakan keunikan semula jadi yang ada, bukannya membazirkan wang atas projek gajah putih di bawah M-WEZ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga naib pengerusi DAP Melaka, mempersoalkan manfaat ketujuh-tujuh projek berkenaan yang didakwa merugikan setelah meneliti pelan tindakan koridor ekonomi berimpak tinggi yang dilancarkan pada April 2021 itu.

Tujuh projek berkenaan adalah Menara Ikonik M-WEZ setinggi 200 meter, pintu gerbang “Selamat Datang”, 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta, M-WEZ Sky Wheel, chalet atas air, puluhan pejabat dan kondominium mewah dan terusan air ala Venice.

“Setelah meneliti pelan tindakan tersebut, saya dapati pelbagai projek yang dicadangkan tersebut berisiko menjadi ‘gajah putih’, jadi adakah projek sebegini akan memberi manfaat kepada rakyat?

“Contohnya, cadangan untuk membina 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta adalah tidak masuk akal sedangkan wang sebegitu besar boleh digunakan untuk projek tebatan banjir dan agromakanan yang jauh lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Ujarnya, tidak dinafikan terdapat beberapa elemen yang baik seperti “transit-oriented development” (TOD), taman rekreasi dan bandar pintar dalam pelan tindakan M-WEZ.

“Cadangan ini harus diutamakan dan boleh dilaksanakan tanpa perlu tujuh projek ‘gajah putih’ M-WEZ ini.

Tambahnya, ini kerana MWEZ yang merupakan projek tambakan laut terbesar di Malaysia dengan keluasan 25,000 ekar dan sepanjang 33km pesisir pantai negeri Melaka boleh memberi kesan kepada kemampanan alam sekitar.

Selain itu, beliau turut memberi contoh bagaimana kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) pernah melancarkan projek Melaka Gateway pada tahun 2014 yang dikatakan boleh membawa masuk pelaburan berpuluh-puluh bilion dan menjana 40,000 peluang pekerjaan.

Katanya, projek tersebut bukan sahaja gagal mencapai objektifnya malah menyebabkan pencemaran yang teruk.

“Hari ini, projek tersebut bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ dan menyebabkan pencemaran yang teruk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.