202 mangsa terjejas, 3 daerah di Perak dilanda banjir

202 mangsa terjejas, 3 daerah di Perak dilanda banjir

Air Sungai Bidor yang melimpah hingga Sungai Perak turut mengakibatkan banjir kilat melanda Hilir Perak kira-kira 3 pagi tadi.

Lapan pusat pemindahan sementara dibuka berikutan banjir di daerah Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak, setakat pagi tadi. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sebanyak 202 mangsa banjir daripada 60 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir di daerah Muallim, Batang Padang dan Hilir Perak, setakat pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, di daerah Muallim, PPS dibuka adalah di Sekolah Agama Rakyat Kampung Rasau yang menempatkan 19 mangsa, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak Pekan (46) dan PPS Pejabat Kemas Tanjung Malim (empat).

“Selain itu, 36 mangsa juga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, 38 mangsa di Dewan Sungkai Klah Baru dan 42 orang lagi di Dewan Semai Bakti Trolak Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di daerah Batang Padang, sebanyak 17 warga emas yang diselamatkan dari pusat jagaan orang tua masih ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Choong Hua 1, Bidor.

Sementara itu menurut jurucakap, air Sungai Bidor yang melimpah hingga Sungai Perak turut mengakibatkan banjir kilat melanda Hilir Perak kira-kira 3 pagi tadi.

Sebanyak 50 buah rumah dianggarkan terjejas dan sebuah PPS di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan Langkap telah dibuka.

Proses pemindahan sedang dijalankan ketika ini dan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, bomba serta polis sedang memantau lokasi terjejas banjir sementara cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.