Sifu wushu didakwa 11 pertuduhan esok berkait gangguan seksual

Sifu wushu didakwa 11 pertuduhan esok berkait gangguan seksual

Sebelum ini pengadu iaitu bapa kepada mangsa mendakwa bahawa anaknya mengalami gangguan seksual daripada jurulatih wushu di rumah suspek pada 11 Feb hingga 19 Feb lalu.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata suspek berusia 31 akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya esok kerana melakukan gangguan seksual terhadap mangsa. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang jurulatih wushu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya esok atas kesalahan membuat gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak berusia 13 tahun yang juga pelatihnya.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 31 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan 10 pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa selain turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Sebelum ini, pengadu iaitu bapa kepada mangsa mendakwa bahawa mangsa telah mengalami gangguan seksual dari jurulatih wushu di rumah suspek pada 11 Feb sehingga 19 Feb tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya menerima empat laporan kes cabul kanak-kanak melibatkan jurulatih wushu berkenaan yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap atletnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata dua laporan dibuat di Kuala Lumpur manakala dua lagi di Selangor.

Katanya, laporan diterima daripada dua mangsa perempuan berusia 12 dan 13 tahun yang mendakwa dicabul jurulatih wushu di sebuah akademi di Cheras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.