Semakan keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger 1 Jun

Semakan keputusan lepas tanpa bebas Long Tiger 1 Jun

Pada 17 Mei lalu Mahkamah Majistret Tangkak melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim Ab Hamid daripada pertuduhan pemerasan.

Mahkamah Majistret Tangkak melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim Ab Hamid daripada pertuduhan pemerasan atas permohonan peguam susulan saksi utama meninggal dunia semasa perbicaraan kes sedang berlangsung. (Gambar Bernama)
MUAR:
Pihak pendakwaan hari ini memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret Tangkak yang melepas tanpa membebaskan Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid atas pertuduhan melakukan pemerasan.

Permohonan itu dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Abu Bakar Katar yang kemudiannya menetapkan 1 Jun untuk keputusan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dalam hujahannya berkata, pada 17 Mei lalu, peguam Shaharudin Ali yang mewakili Abdul Hamim, 33, memohon supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan atas alasan pengadu atau saksi pertama pendakwaan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, meskipun pengadu telah meninggal dunia atau masih hidup, prosiding tetap berjalan melainkan pertuduhan tidak lengkap, tidak jelas maksudnya atau tertuduh tidak tahu dia dituduh atas kesalahan tertentu.

Shaharudin pula berhujah sekiranya pengadu telah meninggal dunia, bagaimana untuk membuktikan kes berkenaan.

Pada 6 Mei 2020, Hamim didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Luqman Hakeem Othman, 20, dengan cara akan membuat laporan polis terhadap pengadu (Luqman Hakeem) kerana telah melakukan hubungan seks bersama perempuan bawah umur dan memaksa isteri pengadu menggugurkan laporan polis berhubung satu kes terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Gambir, Tangkak, antara 7 malam hingga 9 malam, Oktober 2019 mengikut Seksyen 388 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Luqman Hakeem yang merupakan bekas pekerja Hamim terlibat dengan kemalangan jalan raya di Tangkak dan meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini pada 23 Mac lalu.

Pada 17 Mei lalu, media melaporkan Mahkamah Majistret Tangkak melepas tanpa membebaskan Hamim daripada pertuduhan pemerasan berikutan permohonan peguam susulan Luqman Hakeem meninggal dunia semasa perbicaraan kes itu sedang berlangsung.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Tangkak menolak permohonan Shaharudin supaya anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan mengugut Luqman Hakeem mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan mengurung mengikut Seksyen 342 atas alasan pengadu telah meninggal dunia.

Selain tiga pertuduhan itu, pada 8 Ogos tahun lalu, Hamim yang juga lelaki etnik Rohingya turut didakwa merogol seorang wanita pada 26 Sept 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Hamim yang melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pada Disember tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama, selepas mengaku bersalah dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.