Sebabkan kematian mentua, pengawal keselamatan dipenjara 17 tahun

Sebabkan kematian mentua, pengawal keselamatan dipenjara 17 tahun

Hakim Nazlan Mohd Ghazali turut memerintahkan seorang lagi tertuduh dibebaskan daripada tuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan penganggur, Said A Zamzani dibebaskan selepas pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam tuduhan terhadapnya. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengawal keselamatan dipenjara 17 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian bapa mentuanya, enam tahun lalu.

Hakim Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara terhadap Isthisham Noor Elahi, 28, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2016.

Bagaimanapun, seorang penganggur, Said A Zamzani , 27, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh mangsa sama selepas mendapati pembelaannya berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Nazlan yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan tiga bulan lalu, mendengar perbicaraan kes itu sebelum ini di Mahkamah Tinggi.

Isthisham dan Said didakwa bersama-sama membunuh Abdul Aziz Suri di Flat Danau Kota, Setapak kira-kira jam 7 malam, 4 Okt 2016.

Nazlan berkata, pembelaan Said konsisten sejak peringkat pendakwaan lagi seterusnya mewujudkan keraguan munasabah yang membawa kepada pembebasannya.

Beliau berkata, keadaan mental Said juga relevan untuk dipertimbangkan memandangkan dia mempunyai masalah membezakan perkara yang betul atau salah, seterusnya hanya mematuhi apa-apa yang diberitahu kepadanya.

“Keadaan mental seperti itu adalah relevan, dan pendakwaan tidak menawarkan sebarang bukti untuk menyangkalnya,” katanya.

Menurut Nazlan, pembelaan Isthisham bagaimanapun gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau mendapati kes pendakwaan dan laporan bedah siasat tidak menunjukkan perbuatan itu bersertakan niat untuk membunuh.

“Disebabkan itu, Isthisham hanya didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, dan dihukum penjara 17 tahun,” katanya.

Barisan peguam Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay, Beatrice Chin, dan Lee Yee Woei mewakili Said, manakala pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Izalina Farhana dan Afiq Nazrin.

Peguam Rajpal Singh mewakili Isthisham bersama Fan Xiao Jun.

Rajpal yang mengambil alih kes itu pada peringkat pembelaan berkata, motif kejadian itu tidak jelas, malah senjata yang digunakan juga tidak ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.