
Rakaman video tular menunjukkan dua kumpulan berkenaan membaling kerusi malah sekurang-kurangnya dua individu turut dilihat memukul seorang yang lain menggunakan objek menyerupai kayu besbol.
Ketua Polis Klang, Cha Hoong Fong, berkata susulan kejadian itu polis menahan lapan individu berusia antara 14 hingga 21 tahun.
Katanya, semuanya mengaku terlibat dengan kejadian itu.
“Siasatan mendapati kejadian ini berpunca daripada perebutan teman wanita yang melibatkan pelajar sekolah.
“Namun, campur tangan daripada rakan suspek dan mangsa telah membawa kepada unsur gengsterism iaitu kumpulan kongsi gelap,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua suspek direman enam hari, dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bagi pelbagai kesalahan.
Polis turut merampas dua kayu besbol selain beberapa barangan lain untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 326 kerana menyebabkan kecederaan.
Susulan itu, Cha menasihatkan ibu bapa memantau pergerakan anak terutama pada lewat malam selain mengetahui latar belakang rakan mereka.