NGO Hindu siasat kematian pelajar UUM

NGO Hindu siasat kematian pelajar UUM

Pendekatan itu dilakukan bagi memastikan semua perkara didedahkan.

Presiden Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy berjanji akan berkongsi maklumat diperoleh dengan pihak berkuasa.
GEORGE TOWN:
Sebuah NGO Hindu sedang menjalankan siasatan secara persendirian berhubung kematian seorang pelajar perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Sabtu lalu.

Hindu Agamam Ani Malaysia, yang kini dalam misi mencari fakta di Kedah, berkata ia berbuat demikian bagi pihak keluarga R Vinosiny.

“Kami (Hindu Agamam) mahu memastikan tidak ada cerita (tertinggal) tidak diberitahu,” kata presiden NGO itu Arun Dorasamy kepada FMT.

“Kami mahu semua perkara didedahkan.”

Arun berkata, dia telah bercakap dengan beberapa pihak mengenai insiden itu dan berjanji akan berkongsi maklumat diperoleh dengan pihak berkuasa.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis belum mengesahkan punca kematian Vinosiny dan masih menunggu laporan bedah siasat.

Ketua Polis Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan, mengesahkan menerima laporan kematian pelajar tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, pelajar itu dipercayai diserang sawan namun polis masih menunggu laporan.

Semalam, seramai enam pegawai Suruhanjaya Tenaga dan polis melawat kampus penginapan di mana Vinosiny ditemui mati untuk menjalankan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.