
Beliau berkata, MN masih mempunyai “nyawa” walaupun hanya tinggal “nyawa-nyawa ikan” seperti disebut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Masih ada nyawa…sebelum ini dia (Zahid) kata dah mati. Jadi (MN) masih ada nyawalah.
“Jadi, bagi saya selagi ada nyawa, kita ‘on’. Kecuali dia (Umno) isytihar bubar MN, tapi setakat ini tiada,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Zahid sebelum ini menyifatkan MN dalam keadaan “nyawa-nyawa ikan” dan soal masa depan kerjasama itu sewajarnya dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti untuk diputuskan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dalam konteks menghadapi pilihan raya pihaknya menyambut baik hasrat untuk pimpinan MN duduk berbincang.
“Walaupun PAS komponen dalam Perikatan Nasional (PN), dan mereka faham kita ada kepentingan bersama, tempat-tempat yang perlu kita duduk, bincang dan perhalusi,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, MN perlu kerangka lebih besar tidak hanya untuk politik semata-mata.
“Kita nak supaya isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam ada satu platform untuk bincang isu kebajikan, kepentingan orang Islam di Malaysia dan luar negara
“Jadi apa platformnya? MN ini kalau tidak hanya politik, kita kena tengok kerangka yang lebih besar,” katanya.