Mayat lelaki OKU ditemui di tepi sungai

Mayat lelaki OKU ditemui di tepi sungai

Mayat mangsa dijumpai kira-kira 9.30 pagi oleh dua lelaki yang sedang mencari buluh lemang berhampiran sungai berkenaan.

Anggota Unit Forensik polis mengangkat mayat seorang lelaki Orang Kelainan Upaya yang ditemui di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur, Hulu Terengganu. (Gambar Bernama)
KUALA BERANG:
Misteri kehilangan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) lebih seminggu lalu akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemui berhampiran sungai di Kampung Tanjung Aur, Telemong di sini, semalam.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira 9.30 pagi oleh dua lelaki yang sedang mencari buluh lemang berhampiran sungai berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Hadi Ismail berusia 37 tahun yang berasal dari Marang dilaporkan hilang sejak 13 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memaklumkan mengenai penemuan mayat lengkap berpakaian berhampiran hutan tidak jauh dari tebing sungai.

“Pasukan forensik yang bertugas di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa yang kudung paras lutut akibat kemalangan jalan raya lengkap berpakaian, namun tangan kiri mangsa disyaki telah dimakan binatang liar.

Turut ditemui dua batang tongkat aluminium berhampiran lokasi penemuan mayat yang dipercayai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohd Adli, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.