Mana janji warta semula HSKLU sebelum Aidilfitri, soal penyokong Anwar, NGO

Mana janji warta semula HSKLU sebelum Aidilfitri, soal penyokong Anwar, NGO

Otai Reformis, PEKA tuntut penjelasan status pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara itu.

Kerajaan negeri digesa menjelaskan status pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang sebelum ini dijanjikan untuk dilaksanakan sebelum Aidilfitri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim menuntut kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan status pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini dijanjikan sebelum Aidilfitri.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, sehingga kini masih belum ada bukti hitam putih dan dokumen rasmi didedahkan kepada umum berhubung perkara itu.

“Sudah hampir lapan bulan sejak kerajaan Selangor membatalkan cadangan untuk membangunkan hutan simpan tersebut pada 8 Sept 2021. Otai Reformis beranggapan bahawa MB telah membuat janji kosong yang tidak ditepati,” katanya kepada FMT.

Kumpulan itu yang sebelum ini bersama NGO alam sekitar menentang pembangunan di kawasan itu turut menolak cadangan kerajaan Selangor untuk menggunakan 8.5 hektar kawasan HSKLU bagi kerja jajaran saluran paip Air Selangor.

“Otai juga menggesa kerajaan negeri melencongkan jajaran tersebut tanpa perlu memasuki kawasan hutan simpan,” kata Abdul Razak.

Menurutnya, pihaknya juga kecewa dengan langkah kerajaan negeri pada 6 April lalu menolak daripada mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk pendengaran awam berkaitan penyahwartaan HSKLU.

“Menteri besar janji nak adakan pendengaran SELCAT tetapi itu semua retorik semata-mata,” katanya.

Pandangan sama dibangkitkan oleh Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Damien Thanam kerana sehingga hari ini belum ada pewartaan rasmi dibuat ke atas hutan tersebut.

“Sehingga kini tiada apa-apa kemas kini status daripada Pejabat Menteri Besar, exco alam sekitar, pengarah perhutanan negeri ataupun Pejabat Tanah,” katanya.

Pada 25 Mac lalu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, HSKLU dijangka diwartakan semula sebelum Aidilfitri dengan 97% daripadanya sebagai hutan simpan dan baki 3% lagi untuk perkampungan Orang Asli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.