Jatuh parit, 3 kanak-kanak ditemui lemas

Jatuh parit, 3 kanak-kanak ditemui lemas

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila seorang daripada mangsa terjatuh ke parit sebelum dua lagi ahli keluarganya cuba menyelamatkan mangsa.

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas tiga kanak-kanak ditemui lemas di Kepayan, Kota Kinabalu semalam. (Gambar PDRM)
KOTA KINABALU:
Tiga kanak-kanak perempuan ditemui lemas dalam sebuah parit besar di Kampung Bunga Raya, Kepayan di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira 2.30 petang itu dipercayai berlaku apabila seorang daripada mereka terjatuh ke dalam parit terbabit, sebelum dua yang lain, yang juga ahli keluarganya, cuba menyelamatkannya.

Bagaimanapun usaha mereka gagal apabila ketiga-tiga mangsa berusia lima hingga 12 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa bermain di tebing parit sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir dan terjatuh.

Ketika kejadian katanya, paras air di parit selebar lima meter itu ialah kira-kira dua meter berikutan air pasang.

“Dua lagi cuba menyelamatkannya, tetapi disebabkan tidak pandai berenang, mereka lemas.

“Ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan keluarga dan tinggal berjiran di rumah setinggan di kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidi berkata, seorang remaja lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu kemudiannya menarik semua mangsa keluar dari parit berkenaan.

Katanya, mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.