
Beliau menggambarkan perlakuan seumpama itu seperti mahu menjadi “wartawan segera” kerana menghebohkan perihal kemiskinan yang dianggap mengaibkan.
Katanya, Islam menggariskan tiga kaedah dalam melaksanakan sesuatu perkara atau pekerjaan iaitu berdasarkan niat, matlamat dan cara.
“Hendak membantu rakyat dalam kemiskinan, tetapi kemudian dihebohkan di media sosial, apa tujuan sebenarnya. Kalau hendak membantu perlu tetapkan niat dan matlamat yang baik seterusnya cara untuk membantu juga mestilah dengan betul.
“Mencari dan mendedahkan kisah kemiskinan sehingga mengaibkan pihak lain adalah satu kesalahan, berdosa serta haram hukumnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Shukri berkata, pihak yang ingin membantu golongan miskin sepatutnya merujuk atau melaporkan kepada pihak berautoriti seperti mana yang diamalkan media arus perdana.
“Ini cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa dan sedang ditangani supaya masyarakat kita sepatutnya menghormati pihak yang berautoriti dengan merujuk kepada mereka dalam sesuatu perkara.
“Jika timbul isu, tidak sepatutnya terus ditularkan dan perlu kepada penelitian serta penapisan terlebih dahulu kerana jika sengaja menimbulkan kekacauan terhadap pemikiran dan kehidupan orang lain, hukumnya haram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna media sosial tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi hal mengaibkan pihak lain.