
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan dan Goh Bok Yen berkata, keutamaan kerajaan telah tersasar.
Rosli Azad Khan berkata, terdapat terlalu banyak lebuh raya sedia ada di Lembah Klang dan kerajaan seharusnya menyelesaikan isu sistem pengangkutan awam sebelum mempertimbangkan pembinaan lebuh raya baharu.
“Sudah tiba masanya untuk kita menyatukan dan menyelesaikan masalah perbatuan pertama dan perbatuan terakhir sistem pengangkutan awam kita,” katanya.

“Ia tidak beroperasi pada tahap optimum kerana banyak yang sering mengalami kerosakan. Bukankah kerajaan sepatutnya menyelesaikan isu itu terlebih dahulu?”
Rosli berkata, kawasan bandar di Lembah Klang direka untuk kereta dan wujud kegagalan untuk menyepadukan bentuk baharu mod pengangkutan peribadi ke dalam sistem.
“Mungkin kita memerlukan rombakan lengkap susun atur jalan di kawasan bandar, terutamanya di tempat yang berhampiran stesen pengangkutan awam untuk menampung e-skuter dan mod pengangkutan peribadi lain.”
Semalam, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, cadangan pembinaan lebuh raya baharu telah diluluskan dan kesesakan lalu lintas berpotensi dikurangkan jika 60% penumpang menggunakan jalan raya dan 40% menggunakan pengangkutan awam.
Manakala itu Goh pula berkata, pembinaan lebuh raya tambahan akan meningkatkan rintangan terhadap pengangkutan awam.

Katanya, terdapat “konflik yang jelas” antara pelaburan oleh Putrajaya yang berjumlah berbilion ringgit dalam pembinaan rel, koc dan bas pengantara di satu pihak dan pembinaan berterusan lebuh raya bandar bertingkat di pihak yang lain.
“Ia tidak melengkapi antara satu sama lain tetapi bersaing,” katanya.
Katanya, penekanan harus diberikan kepada satu mod pengangkutan dan nisbah penumpang sasaran hendaklah 60% pengangkutan awam dan 40% kenderaan persendirian. Sistem pengangkutan awam mampu menampungnya.
Goh berkata, Kementerian Pengangkutan harus menghalang penggunaan kenderaan persendirian seperti yang dilakukan oleh Singapura, bukannya membenarkan pertumbuhan mobiliti kenderaan persendirian tanpa sekatan.
Beliau mencadangkan supaya tol pusat bandar diwujudkan, caj tempat letak kereta dinaikkan dan subsidi bahan api dihapuskan.