‘Dah jual, tak boleh buat apa-apa’, kata MB Perak berkait tanah lapangan terbang

‘Dah jual, tak boleh buat apa-apa’, kata MB Perak berkait tanah lapangan terbang

Saarani Mohamad berkata pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tanah itu kerana penjualannya dibuat secara sah oleh pemilik iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Saarani Mohamad berkata terserah kepada syarikat swasta itu untuk memajukan kawasan berkenaan dengan sebarang bentuk pembangunan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Perak tidak boleh mengekalkan tanah bagi tapak cadangan membina lapangan terbang Seri Iskandar yang telah dijual kepada syarikat swasta kerana perjanjian jual beli tanah itu sudah ditandatangani sebelum ini.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tanah tersebut kerana penjualannya dibuat secara sah oleh pemilik tanah iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kepada syarikat swasta tersebut.

“Seperti saya sebutkan sebelum ini, dulu memanglah tanah itu kita rancang untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang, tetapi setelah ia dijual maka rancangan untuk buat lapangan terbang itu sudah tiadalah.

“Jadi, terserah kepada syarikat swasta itu untuk memajukan kawasan itu dengan sebarang bentuk pembangunan,” katanya.

Saarani berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Perak dan Pelancaran Duta Komuniti Keluarga Malaysia Negeri Perak Tahun 2022 di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Hamidah Osman bahawa kerajaan negeri masih boleh menyelamatkan tanah bagi tapak lapangan terbang itu berdasarkan sekatan kepentingan yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.