Bekas diplomat belajar tanam pokok ganja, proses dadah di YouTube

Bekas diplomat belajar tanam pokok ganja, proses dadah di YouTube

Polis berkata, suspek mengaku menanam pokok ganja itu di kawasan seluas dua hektar di kediaman terpencil di Janda Baik, Bentong sejak 2015.

Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) berkata, suspek menjual daun kering dan cecair ganja kepada pelanggan tetap serta kenalannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas diplomat berpangkat “Datuk” yang ditahan kerana disyaki memiliki ladang ganja dengan 102 pokok terlarang itu, mempelajari kaedah menanam dan memproses dadah itu melalui YouTube.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, benih pokok itu diperoleh daripada ganja mampat yang dibelinya di sekitar Kuala Lumpur tujuh tahun lalu dan suspek turut memprosesnya menjadi daun kering dan cecair untuk dijual kepada pelanggan tetap serta kenalan.

Beliau berkata, suspek mengaku menanam pokok ganja itu di kawasan seluas dua hektar di kediaman terpencil di Janda Baik, Bentong sejak 2015 yang dijaga dengan lapan ekor anjing.

Katanya, hasil pemeriksaan di belakang garaj rumah itu, polis menemui lima batas yang ditanam 60 pokok ganja dan lapan pokok di sebuah khemah.

“Polis turut menemui 34 pokok di tapak semaian, menjadikan keseluruhannya 102 pokok ganja ditemui dengan nilai rampasan RM61,200,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, polis merampas daun kering ganja seberat 1.02kg bernilai RM2,500 dan cecair ganja dalam botol yang dijual pada harga RM250 sebotol.

Difahamkan suspek pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Kes ini dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana kebanyakan rampasan sebelum ini hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.

Sementara itu, Ramli dipetik Bernama berkata, lelaki berusia 78 tahun itu ditahan di rumahnya di Janda Baik pada 6.10 petang Sabtu lalu, manakala anak lelakinya yang berusia 53 tahun ditahan di Shah Alam, Selangor pada 5.30 petang kelmarin.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas warga emas itu didapati negatif dadah, tetapi dia mengaku memasukkan beberapa titisan cecair ganja itu dalam minumannya sejak tiga tahun lalu, sementara anaknya didapati positif dadah serta mengaku mula menagih sejak 2013.

Beliau berkata, bekas diplomat itu direman seminggu hingga Sabtu ini, manakala permohonan reman terhadap anaknya akan dibuat hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B serta 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.