
Pada masa sama, negara akan menumpukan untuk menyasarkan subsidi komoditi itu demi memastikan pengguna paling memerlukan mendapat manfaat.
“Setakat ini, kami tidak bimbang kerana tiada langsung kekurangan bekalan,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dalam temu bual.
“Hampir setiap masa, kami mengeksport lebih separuh daripada apa yang kami keluarkan, dan masih mempunyai lebihan untuk eksport,” katanya.

Zuraida berkata, Malaysia berhasrat untuk merapatkan jurang dalam pasaran minyak masak susulan perang Ukraine, serta sekatan eksport Indonesia terhadap minyak sawitnya.
Beliau meramalkan pengeluaran minyak sawit Malaysia mungkin melantun semula kepada 23 juta hingga 25 juta tan metrik pada 2022, berbanding 18.1 juta tan metrik tahun lalu, memandangkan masalah tenaga kerja disebabkan pandemik sudah berkurangan dan pekerja asing dibenarkan kembali ke estet, manakala pekebun kecil meningkatkan produktiviti untuk memanfaatkan harga tinggi.
Di seluruh dunia, kebanyakan kerajaan mengambil tindakan melindungi pengeluaran makanan demi memastikan bekalan makanan mencukupi, selain memerangi kenaikan kos makanan yang sebahagiannya didorong kekurangan bekalan kesan perang di Ukraine.
Pengeksport terbesar, Indonesia, baru-baru ini, menghentikan minyak sawit buat sementara waktu, sebelum menggantikannya dengan kuota jualan domestik selepas petani membantah tindakan itu. India telah mengekang import gandum dan bersedia untuk menyekat penghantaran gula, manakala Serbia dan Kazakhstan mengenakan kuota ke atas penghantaran bijirin.
Peningkatan harga komoditi global, yang pada mulanya dijangka berkurangan pada suku ketiga tahun ini, berkemungkinan kekal tinggi menjelang akhir tahun atau bahkan hingga 2023 sebelum kembali normal, kata Zuraida.
Situasi itu bermasalah bagi negara ini, yang merupakan pengimport makanan dan terdedah kepada kejutan global dalam rantaian bekalan makanan.
Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan negara akan menghentikan eksport ayam mulai Jun, dan menyiasat dakwaan penetapan harga dibuta kartel, ketika negara itu berusaha untuk mendapatkan bekalannya sendiri.
Langkah itu berkemungkinan memberi kesan terhadap Singapura, yang memperoleh satu pertiga daripada bekalannya dari Malaysia, serta Thailand, Brunei, Jepun, dan Hong Kong.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, hari ini, berkata langkah itu adalah sementara sehingga harga dan pengeluaran ayam stabil.
Kedua-duanya, Kiandee dan Zuraida berkata, kerajaan pada masa ini tidak mempertimbangkan sekatan eksport ke atas komoditi pertanian lain.
Subsidi
Kerajaan sedang menyasarkan subsidi minyak masak kepada golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil, kata Zuraida.
Lazimnya, Malaysia memperuntukkan kira-kira 30% daripada pendapatan tahunannya bagi program subsidi tempatan dan mekanisme baharu itu mungkin akan dilancarkan tahun ini selepas dimuktamadkan Kementerian Kewangan, katanya.
Zuraida menambah, rancangan mengurangkan cukai eksport minyak sawit mungkin merupakan langkah sementara yang terhad kepada syarikat berkaitan kerajaan dengan operasi hiliran di negara asing, seperti India dan Pakistan. Langkah itu masih dibincangkan dengan Kementerian Kewangan.
Walaupun harga minyak sawit mungkin berkurangan berbanding komoditi saingan lain dan di tengah-tengah peningkatan pengeluaran, niaga hadapan penanda aras mungkin kekal sekitar RM4,000 hingga RM4,500 satu tan hingga awal tahun depan, katanya.
Harga di Malaysia melonjak 3.3% untuk ditutup pada RM6,470, hari ini.