
Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin, yang juga bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim berkata, Malaysia terlibat dengan Singapura dalam eksport RE ke negara itu bermula akhir 2018 sehingga berlakunya Langkah Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan.
Beliau berkata, Singapura memerlukan lebih banyak RE dalam campuran elektriknya kerana lebih banyak syarikat multinasional membuat komitmen terhadap neutraliti karbon. Banyak antaranya mempunyai ibu pejabat serantau di Singapura.
“Kita berhasrat untuk mengeksport RE sebagai satu lagi cabang untuk merancakkan sektor ekonomi dan pekerjaan hijau di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

“Seperti yang dijangkakan, pada 25 Okt 2021, kerajaan Singapura mengumumkan hasrat untuk mengimport sehingga 4 gigawatt (GW) RE berkarbon rendah menjelang 2035.”
Yeo berkata, Malaysia kehilangan peluang ini apabila pada Oktober 2021 kerajaan “tiba-tiba” mengumumkan larangan eksport RE.
Beliau berkata, apabila ditanya sebab larangan itu di Dewan Rakyat, jawapannya adalah eksport RE (termasuk kredit karbon yang disertakan dengan RE yang dieksport) akan menghalang Malaysia daripada memenuhi sasaran pengurangan karbonnya sendiri, juga dikenali sebagai “National Determined Commitment (NDC)” bawah Perjanjian Iklim Paris.
Jawapan ini tidak munasabah, kata Yeo.
“Secara keseluruhan, di Malaysia, potensi tenaga solar, biotenaga dan hidrokuasa kecil yang belum diterokai masing-masing adalah sebanyak 269GW, 3.6GW and 2.5GW.
“Sebagai perbandingan, kapasiti jana kuasa sedia ada di seluruh negara setakat 2020 hanya 34.6GW, merangkumi 27.2GW di Semenanjung, 5.7GW di Sarawak and 1.7GW di Sabah.
“Jadi potensi untuk RE yang belum diterokai sahaja boleh menjana lebih lapan kali (kapasiti) Malaysia,” katanya.
Beliau menyeru kerajaan agar menarik balik larangan eksport RE supaya “pemain-pemain RE yang berpangkalan di Malaysia dapat menyertai permintaan untuk cadangan (RFP) yang kedua”.
Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) mengeluarkan RFP pertama pada 12 Nov 2021 untuk import sehingga 1.2GW elektrik.
Tarikh akhir untuk penyerahan RFP adalah 14 Jun tahun ini dan Yeo berkata, kemungkinan pemain RE akan terlepas pusingan ini.
Bagaimanapun katanya, RFP kedua juga akan dibuka pada suku ini.
“Baru-baru ini, saya melihat perdana menteri dan anggota Jemaah Menteri giat pergi ke serata dunia atas nama menarik pelaburan ke negara ini.
“Saya harap mereka menyedari peluang yang selama ini terhidang di depan mata dan tidak mensia-siakannya,” kata Yeo.