Persefahaman Malaysia-Indonesia bolehkan BM diangkat sebagai bahasa Asean, kata Rais

Persefahaman Malaysia-Indonesia bolehkan BM diangkat sebagai bahasa Asean, kata Rais

Wisma Putra perlu memainkan peranan dalam mencari jalan khusus bagi menghubungkan matlamat Malaysia dengan negara jiran, kata Presiden Dewan Negara itu.

Pada sidang meja bulat semalam, Rais Yatim turut mencadangkan beberapa inisiatif jangka pendek dan panjang dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu.
KUALA LUMPUR:
Persefahaman antara Malaysia dan Indonesia adalah kunci penting bagi membolehkan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa Asean.

Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, Wisma Putra perlu memainkan peranan dalam mencari jalan khusus bagi menghubungkan matlamat Malaysia dengan negara jiran.

“Tentang Indonesia, Malaysia tidak boleh ambil ringan sebabnya ini adalah sekutu dalam perjuangan yang lebih besar,” katanya pada Sidang Meja Bulat Wakil-Wakil Asean untuk Pengembangan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara-negara Asean di sini semalam.

Beliau turut mencadangkan Perkara 34 Piagam Asean yang menyatakan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja Asean dipinda dengan penambahan penggunaan Bahasa Melayu.

“Kita mesti lakukan menerusi Wisma Putra dan diplomasi Asean untuk memindanya … tetapi kalau Bahasa Melayu sahaja Indonesia mungkin tidak bersetuju dan (sebab) itulah kita perlu runding.

“Yang penting sekarang (adalah) memasukkan idea pemikiran Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia itu dalam (Piagam Asean),” katanya.

Rais turut mencadangkan beberapa inisiatif jangka pendek dan panjang dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, antaranya dengan memperkaya seni karya tempatan, pengajian dunia Melayu serta meningkatkan tenaga pengajar Bahasa Melayu di IPT luar negara.

Sidang meja bulat yang dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bahasa dan Pustaka diadakan bersempena dengan penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang sedang berlangsung sehingga hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.