
“Pegawai SPRM mesti menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih. Paling penting, ia mesti bebas daripada campur tangan politik,” kata Raus pada Forum Pencegahan Rasuah Malaysia yang ketiga di sini, hari ini.
Beliau mendakwa beberapa peristiwa dalam tempoh empat tahun lalu menyebabkan kebebasan dan kesaksamaan suruhanjaya itu dipersoalkan.
“Ia bermula dengan pelantikan ahli politik aktif sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Walaupun tidak menamakan individu terbabit, beliau dipercayai merujuk kepada Latheefa Koya daripada PKR yang menerajui SPRM sebagai ketua pesuruhjaya kelima dari Jun 2019 hingga Mac 2020.
Raus berkata, pelantikan itu menyebabkan timbul persepsi terhadap tindakan diambil SPRM yang lebih bermotifkan politik.
“Tidak menghairankan, terdapat dakwaan berlakunya penyiasatan terpilih, pendakwaan terpilih. Terdapat juga dakwaan penarikan balik pertuduhan yang tidak wajar. Selain itu isu integriti beberapa pegawai SPRM mula timbul,” katanya.
Raus berkata, ketua SPRM sekarang, Azam Baki terpaksa memikul tanggungjawab memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi itu dan ia bukan tugas “sekelip mata”.
“Saya mohon anda semua menyumbang kemahiran dan kepakaran dan menghulurkan tangan untuk menjadikan SPRM hebat semula,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya bertanggungjawab apabila mengkritik SPRM.
“Sebagai badan bebas seperti badan kehakiman, SPRM mesti terbuka kepada kritikan, tetapi kenyataan keras dan tidak wajar melemahkan SPRM.
“Adalah penting bahawa komen yang dibuat terhadap SPRM dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya.