
Sebaliknya, hakim Akhtar Tahir mengarahkan kes itu diteruskan untuk perbicaraan penuh dari 18 hingga 24 Mac 2024.
Haniff memberitahu pemberita, mahkamah dalam keputusannya hari ini, membenarkan pemegang jawatan, iaitu Presiden Muhyiddin Yassin, Bendahari Salleh Bajuri dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin mengemukakan pembelaan mereka pada perbicaraan penuh nanti.
“Belum ada penentuan tuntutan dibuat,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Haniff membayar kos RM3,000.
Haniff berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap penolakan permohonannya itu dalam masa terdekat.
Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui penghujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh atau memanggil saksi.
Dalam pernyataan tuntutannya, Haniff berkata, invois tuntutan dikeluarkan kepada Muhyiddin, Hamzah dan Salleh tahun lepas.
Selain ketiga-tiga mereka, Bersatu dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Julai 2021 itu selepas semua defendan gagal memberi respons kepada peringatan untuk membayar.
Haniff berkata, wang itu adalah untuk khidmat guamannya sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri daripada Pakatan Harapan (PH) pada awal 2020, iaitu sebelum penubuhan Perikatan Nasional (PN)
Katanya, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau mewakili parti itu dalam saman kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak dan pentadbirannya.
Menurut pernyataan itu, perkhidmatan Haniff tamat pada 24 Feb 2020 berikutan Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.
Dalam pembelaannya, Bersatu dan pemegang jawatannya mahu saman peguam itu ditolak kerana tiada persetujuan antara mereka.
Mereka berkata, semua perkhidmatan yang diberikan Haniff adalah secara sukarela dan tanpa mengharapkan bayaran.
Mereka juga berpendapat jumlah yang dituntut terlalu berlebihan dan menyalahi undang-undang.
Peguam Nurul Huda Razali mewakili Haniff manakala Chetan Jethwani mewakili Bersatu.