Mahkamah tolak permohonan batal saman bekas ketua pusat timbang tara

Mahkamah tolak permohonan batal saman bekas ketua pusat timbang tara

Hakim Zaki Abdul Wahab membatalkan permohonan dikemukakan Leaderonomics Sdn Bhd dalam prosiding yang diadakan secara dalam talian.

Mahkamah membenarkan kos berjumlah RM3,000 kepada bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Prof N Sundra Rajoo.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan sebuah firma untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh bekas ketua Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Peguam T J Lee yang mewakili Prof N Sundra Rajoo berkata, Hakim Zaki Abdul Wahab membatalkan permohonan dikemukakan Leaderonomics Sdn Bhd dalam prosiding yang diadakan secara dalam talian.

“Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM3,000 kepada Sundra,” kata Lee.

Mahkamah telah mendengar hujahan kedua-dua pihak pada 1 April lalu. Permohonan serupa oleh defendan lain, V Huganeswaran, akan didengar pada 13 Julai.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan tahun lalu, Sundra mendakwa surat layang telah dihantar kepada bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Shukri Abdull dan tujuh yang lain termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, mendakwa beliau (Sundra) telah terlibat dengan pelbagai amalan rasuah.

Sundra mendakwa salinan surat berkenaan turut diedarkan secara meluas dan dengan niat jahat, termasuk kepada golongan peguam selain keluarga dan rakan-rakannya.

Sundra mendakwa terdapat “inferens yang tidak dapat disangkal” bahawa surat layang itu ditulis bersama dan diterbitkan oleh Leaderonomics serta Huganeswaran. Dakwanya, ini berikutan analisis dan pemeriksaan secara forensik terhadap salinan lembut surat berkenaan “mengesahkan penulisnya adalah Leaderonomics”.

Sundra turut mendakwa Huganeswaran yang sebelum ini bertugas di AIAC mempunyai akses terhadap maklumat serta dokumen sulit mengenainya dan AIAC.

Katanya, Huganeswaran bekerja di Leaderonomics ketika surat layang berkenaan diedarkan.

Huganeswaran dan Leaderonomics masing-masing telah memfailkan pernyataan pembelaan menafikan mereka penulis atau penerbit surat layang berkenaan.

Kedua-duanya memfailkan permohonan membatalkan saman Sundra itu yang didakwa remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.