
Pesuruhjaya Kehakiman Amirudin Abd Rahman berkata, mahkamah rendah tidak seharusnya menangani kes jenayah “secara mekanikal”.
“Majistret perlu memainkan peranan dalam memastikan hak dan kebebasan tertuduh dilindungi,” katanya dalam penghakiman bagi membatalkan “sabitan berganda” membabitkan kes dadah.
Dalam kes membabitkan dadah, Adli Elaiyaraja Abdullah kali pertama didakwa pada 11 Feb lalu atas tuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine. Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya di Mahkamah Majistret Jawi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Adli dan akan penjara dua bulan jika gagal membayarnya. Mahkamah juga memerintahkannya menjalani pengawasan selama dua tahun bermula 11 Feb. Bagaimanapun dia membayar denda itu.
Bagaimanapun, sebulan kemudian, iaitu pada 25 Mac, Adli sekali lagi dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan sama.
Majistret yang mendengar pertuduhan pertama Adli, sekali lagi mendendanya RM1,500 selepas mengaku bersalah dan dia juga boleh dipenjara dua bulan jika gagal bayar denda. Mahkamah juga mengarahkan dia diletakkan di bawah pengawasan selama dua tahun.
“Setelah diteliti rekod prosiding, adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan bahawa dia telah didakwa dua kali atas kesalahan yang sama,” kata Amirudin.
“Walaupun nampak mudah, mengenakan hukuman bagi kesalahan sama adalah situasi yang serius dan dilarang dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya selain menambah bahawa “hampir semua” bidang kuasa menghalang amalan itu.
Gunakan kuasa untuk mendakwa secara adil, hakim memberitahu pendakwa raya.
Amirudin turut mengingatkan pendakwa raya supaya sentiasa menjalankan kuasa dengan teliti dan memastikan pendakwaan dilakukan secara adil.
“Sekiranya pendakwa raya atau timbalannya menjalankan kes itu dengan teliti dan bersungguh-sungguh, pengawasan (hukuman sama) ini boleh dielakkan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan peguam supaya bertindak dengan lebih baik untuk kepentingan tertuduh dan memberi mereka nasihat undang-undang sewajarnya.
Adli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Bagaimanapun, apabila dia didakwa kali kedua, peguam itu tidak membangkitkan bahawa Adli sudah pun didakwa atas kesalahan yang sama sebulan sebelum itu.
“Tiada seorang pun daripada mereka (majistret, timbalan pendakwa raya atau peguam) sedar bahawa orang sama didakwa melakukan kesalahan yang sama sebulan lalu,” kata Amirudin.
“Saya perlu menekankan bahawa peguam yang menyediakan bantuan guaman harus memainkan peranan yang lebih aktif, bukan hanya merekodkan butiran tertuduh untuk tujuan mitigasi.
“Adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada tertuduh (Adli) dengan menambah hukuman sama. Peraturan ini amat asing kepada mereka di luar yang terlibat dengan undang-undang,” katanya.